top of page

Anjung Tamu Mercu Tanda

Pelawat teruja dengan seni bina pusat informasi UUM

 

Oleh : Thuriya Darshani a/p Devandran

Sejak kebelakangan ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) sering menjadi destinasi pelancongan tidak kira dalam atau luar negara. Di samping itu, pelajar-pelajar UUM juga memberikan sokongan padu dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti bagi mempromosikan kemudahan dan tempat-tempat menarik yang terdapat di UUM selaras dengan tahun melawat negeri Kedah. UUM menjadi tumpuan utama pelancong disebabkan oleh lokasi strategiknya yang terletak dalam hutan dan juga dikenali dengan sebagai Universiti di Rimba Hijau di persada dunia.

Tambahan pula, UUM dinobatkan sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka yang melahirkan ramai pengurus pada masa akan datang, malah mempunyai kedudukan kelas tertinggi di seluruh universiti di Malaysia. Faktor-faktor sebegini menarik pelancong untuk datang melawat UUM dan bilangan kedatangan pelancong semakin bertambah dan nama UUM menjadi sebutan orang ramai setelah terbinanya Anjung Tamu atau juga dikenali sebagai “Welcome Centre”.

Menurut Pengarah Anjung Tamu, Puan Hajah Rasidah Bin Haji Rodzi, bangunan ini telah dilancarkan oleh YBhg. Prof. Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor UUM pada 15 Jun 2014. Bangunan ini dibina bagi mencorak imej UUM yang mengutamakan konsep mesra pelanggan  dan mengamalkan konsep senyum selalu.

“Anjung Tamu berada di hadapan pintu masuk utama UUM dan pelawat yang datang akan singgah bagi mendapatkan maklumat tentang UUM dari segi sejarah penubuhan, kepimpinan dan tempat-tempat menarik di UUM,” ujar beliau lagi.

Anjung Tamu memainkan peranan sebagai penanda aras kepada UUM sebagai universiti pertama yang mewujudkan bangunan sebegini sebagai tarikan lebih ramai  pengunjung untuk datang melawat UUM. Di samping itu, dapat membantu pembangunan negeri Kedah dalam aspek mempromosikan sektor pelancongan. Visi Anjung Tamu ialah menjadikan bangunan ini terkemuka di peringkat domestik dan antarabangsa, manakala misinya pula ialah memastikan bangunan ini sebagai pusat informasi, khidmat pelanggan, promosi dan hospitaliti bagi pelanggan, tetamu serta pelancong secara global.

Anjung Tamu menjadi platform utama mempromosikan hospitaliti yang efektif dan efisyen.  Setiap rekaan bangunan Anjung Tamu ini mempunyai maksud tersirat yang membawa banyak makna. Reka bentuk bangunan ini lebih berasaskan gubahan sirih junjung yang kebiasaannya menjadi simbol penting dalam pelbagai upacara masyarakat Melayu. Di ruang serambi pula, sirih disusun di dalam tepak sirih dan sering  digunakan sebagai pembuka bicara bagi mengalu-alukan tetamu. Seterusnya, fungsi ruang dan susun aturnya pula lebih berkonsepkan susun atur di ruang rumah tradisional Melayu seperti serambi di anjung pintu masuk, rumah ibu di lobi utama, ruang tengah di ruang pameran, ruang jemuran di ruang terbuka di antara surau dan tandas, ruang dapur di pantri dan juga loteng di bahagian atas rumah Melayu iaitu bersamaan dengan pejabat di dalam bumbung.

Selain itu, reka bentuk Anjung Tamu ini memaparkan ilham daripada ciri-ciri spiritual seni bina Islam. Contohnya, pintu ke surau wanita diletakkan berhadapan dengan laluan ke tandas agar pengguna perempuan mendapat keselesaan. Kedudukan surau lelaki dan perempuan pula  dibina mengikut arah kiblat. Dinding surau dibina dengan konkrit pasang siap bercorak geometrik Islam yang memudahkan kemasukan cahaya dan udara. Secara ringkasnya, reka bentuk bangunan ini lebih menumpukan pada persekitaran semula jadi yang diguna pakai dalam landskap luar dan dalam sekeliling bangunan.

Anjung Tamu mempunyai logonya yang tersendiri yang bertemakan alam semula jadi sebagai tanda penghargaan terhadap hutan tempat terbinanya universiti ini. Logo ini direka berdiri sendiri sebagai jenama yang mewakili UUM dalam melancarkan kempen promosi domestik dan antarabangsa sebagai usaha merealisasikan agenda pengantarabangsaan.  Pada titik utama logo, bangunan. Selain itu, bangunan yang tenang dan hening dilindungi timbunan hijau di bawah naungan langit biru menggambarkan persekitaran kampus UUM.

Di samping itu, warna yang diaplikasikan dalam logo mempunyai maksud yang tersirat di mana warna hitam bermakud menyerlahkan tipografi dan bumbung bangunan pula membawa erti tradisi ilmu yang mampan dan futuristik. Seterusnya, warna hijau bermaksud imej kehijauan hutan, flora, rumput-rampai dan fauna yang terdapat di sekitar kampus. Warna hijau ini juga melambangkan alam semula jadi, harmoni dan mesra alam. Warna putih melambangkan warna latar bangunan dan tipografi frasa “Anjung Tamu” dalam reverse text berkotak segi empat tepat menegaskan tentang kedudukannya sebagai batu asas universiti menerima pengantarabangsaan dengan mentransformasikan frasa tersebut ke dalam bahasa Inggeris dengan maksud yang sama sebagai “Welcome Center”. Warna biru pula bermaksud  bermaksud menyerlahkan tipografi, melambangkan langit dan autoriti sebagai universiti awam yang ditubuhkan pada tahun 1984. Biru turut melambangkan universiti berstatus autonomi dan perpaduan warganya.

Bangunan Anjung Tamu dibina atas dasar menjadikannya sebagai ikon terbaru universiti terkemuka dan juga sebagai langkah menampilkannya sebagai penanda aras kepada UUM di mana ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej dan reputasi universiti sekaligus.

bottom of page