top of page

Taman Burung Unta & Taman Rusa Tarikan Kampus UUM

​Oleh: Chow Kit Yeng

 

Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak terkecuali menjadikan kampusnya sebagai kampus hijau. UUM sekali lagi mencipta nama di peringkat dunia menerusi ‘tagline’ baru iaitu "Universiti Di Rimba Hijau" – "The University in A Green Forest". ‘Tagline’ baru ini dicipta untuk menyatakan tentang keunikan UUM dengan flora dan fauna yang terdapat di sekeliling kawasan kampus. Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak, ‘Tagline' baru ini dipilih memandangkan lokasi kampus yang merupakan bekas lombong bijih timah dan dikelilingi pemandangan hutan yang indah. ‘Tagline’ "Universiti Di Rimba Hijau" ini mampu membawa nama UUM kepada tahap yang lebih tinggi sebaris dengan universiti hebat di Malaysia mahupun di luar negara.

   UUM kini menjadi tarikan pelajar dan orang awam untuk melihat keindahan flora dan fauna. UUM mempunyai fenomena semula jadi yang cantik dan indah. Keindahan flora dan fauna di UUM bukan sahaja dapat menceriakan kawasan kampus, malah dapat menarik minat pelajar untuk mengambil gambar di sekeliling kawasan kampus yang penuh dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

   Salah satu kawasan yang menarik ialah Taman Burung Unta di UUM. Taman Burung Unta ini wujud sejak november, 2013 dan dikawal selia oleh Unit Taman & Rekreasi UUM. Unit Taman & Rekreasi juga menguruskan taman-taman untuk tujuan produksi atau pengeluaran hasil-hasil pertanian dan ternakan seperti Taman Burung Unta, Taman Rusa, Taman Botani, Taman Hutan UUM,  Dusun Buah-buahan, Ladang Hutan bagi Pokok Karas dan Pokok Teja serta lain-lain hasil pengeluaran di UUM.

   Terdapat enam ekor Burung Unta di Taman Burung Unta UUM. Burung Unta merupakan burung terbesar di dunia yang masih hidup. Dengan ketinggiannya sehingga 2.5 meter (lapan kaki). Burung Unta digunakan oleh sebahagian orang Afrika Utara dan Arab sebagai tunggangan lumba. Burung ini tidak boleh terbang dan termasuk dalam kumpulan primitif yang kurang dikenali, iaitu ratit (Palaeognaths).

   Selain itu, Taman Rusa juga merupakan salah satu tarikan UUM. Taman Rusa ini diwujudkan sejak tahun 1997. Taman Rusa ini seluas lebih kurang empat ekar, mengandungi 31 ekor rusa (30 jenis timorensis dan seekor jenis Samba), iaitu sebanyak 17 ekor rusa berbanding dengan jumlah yang dicatatkan pada 13 Jun 1996, iaitu sebanyak 14 ekor. Rusa telah diimport dari luar negara untuk menjadikan salah satu tarikan dalam UUM. Selain mewujudkan suasana yang seimbang dengan alam semulajadi, rusa yang jinak juga dapat menjadi tarikan di UUM.

   UUM bukan sahaja tempat menambah ilmu pengetahuan, malah ia juga adalah tempat untuk membina sahsiah. Tarikan kampus, Taman Burung Unta dan Taman Rusa turut dapat memelihara persekitaran dan sumber-sumber semulajadi di UUM. Taman Burung Unta dan Taman Rusa merupakan tempat yang sesuai kepada pelajar untuk memupuk ciri-ciri kelestarian kerana mereka akan terlibat untuk menyumbangkan tenaga bagi memajukan negara. Taman Burung Unta dan Taman Rusa juga dapat memberi peluang kepada pelajar  untuk melepaskan tekanan semasa belajar. Taman Burung Unta dan Taman Rusa memainkan peranan dalam meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia dan dapat menambah baik kualiti hidup.

bottom of page