top of page

TAMAN BULUH MENJADI SASARAN UTAMA JURUGAMBAR

Oleh : Hawa Fatihah Bt Abdul Razak

Taman Buluh yang terletak di tengah-tengah kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) kini menjadi salah sebuah tempat utama yang mempunyai nilai fotogenik terutama kepada jurugambar yang inginkan kepuasan dalam setiap gambar yang dirakam.

Apa yang menariknya, rimbunan pokok buluh di sekitar Mini Golf  Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tumpuan utama para jurugambar untuk sesi bergambar. Di samping itu, sesi bergambar untuk model-model baju muslimah dan sebagainya juga banyak dilakukan di taman buluh tersebut kerana pemandangannya yang cantik.

Buluh juga dikenali sebagai aur atau bambu yang merupakan suku bagi tumbuhan saka berbunga daripada keluarga Poaceae. Struktur pokok buluh adalah berongga di bahagian tengah dan keratan rentas berkas vaskularnya terletak bertaburan di seluruh batang. Ia juga tidak mempunyai xilem.

Buluh adalah antara tumbuhan yang paling cepat  membesar di dunia disebabkan oleh sistem bersandar rizomnya yang unik. Tumbuhan ini mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan budaya di rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan dimana ia digunakan sebagai bahan binaan, sumber makanan dan juga keluaran mentah serbaguna.

Kawasan yang redup dengan rimbunan pokok buluh juga sangat sesuai untuk pelajar UUM melakukan aktiviti riadah. Selain itu, kawasan Taman Buluh juga menjadi tumpuan utama para pelajar sekiranya ingin melakukan jamuan dan sebagainya.Lokasinya juga strategik, iaitu berada di tengah-tengah kampus UUM di mana ianya memudahkan para pelajar sekiranya ingin ke Taman Buluh.

Menurut salah seorang pelajar UUM yang sangat menggemari bidang penggambaran, Muhammad Azhar Tazirun bin Ismail, 23, menyifatkan Taman Buluh merupakan salah satu lokasi yang sangat sesuai bagi jurugambar merakamkan gambar dalam persekitaran yang cantik.

“Saya merasakan Taman Buluh mempunyai potensi untuk dijadikan salah sebuah lokasi industri penggambaran yang terkemuka suatu hari nanti,” ujarnya.

bottom of page