top of page

UNIVERSITI DI RIMBA HIJAU

Oleh : Nurul Hanis Bt Imar

SINTOK – Kejayaan Universiti Utara Malaysia (UUM) meraih kedudukan ke 45 dalam senarai UI Green Metric World University semarakkan lagi rasa cintanya terhadap kehijauan alam.

Sinonim dengan kedudukannya di tengah Hutan Sintok, cogan kata ‘Universiti di Rimba Hijau’ melambangkan kekayaannya dengan flora dan fauna. Sejak penubuhannya pada 16 Februari 1984, UUM telah giat menjalankan aktiviti bertemakan alam sekitar yang bukan sahaja memelihara, malah memulihara khazanah hutan hujan tropika tersebut. UUM Forest Reserve (UFR) yang berkeluasan 473.56 hektar terdiri daripada Mixed Dipterocarp Forest (Virgin Forest) dan Schima-Bamboo Forest (Secondary Forest) mengekalkan keunikan rimba hijau Sintok.

Secara keseluruhannya, terdapat 20,000 jenis flora dan fauna di sekitar kampus UUM. Landskap UUM yang berkonsepkan kampus hijau dibina bagi mewujudkan keharmonian dan suasana pembelajaran yang kondusif sekaligus menjadi taman rekreasi kepada mahasiswa dan pengunjung. Keindahan kampus UUM Sintok diserikan lagi dengan pelbagai taman dengan lanskap tersendiri seperti padang golf, Taman Botani, Seni Taman dan Taman Herba. Selain itu, bagi meningkatkan kemudahan pelancongan, UUM juga turut menyediakan ladang ternakan haiwan seperti kuda, rusa, burung unta dan itik.

UUM membelanjakan RM450, 043.65 untuk penanaman dan pemuliharaan tumbuhan meliputi keluasan 120 hektar dalam usahanya merealisasikan Rancangan Malaysia Keenam. Sebanyak 50,300 batang pokok Teja dan 8,164 batang pokok Karas telah ditanam. Selain itu, pokok Jati (Tectona Grandis) dan Mahogani (Khaya Senegalensis) juga ditanam dalam usaha memulihara hutan Sintok.

Keprihatinan UUM dalam memelihara dan memulihara kehijauan alam di Malaysia diiktiraf oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2002 sempena sambutan Hari Landskap Kebangsaan apabila dinobatkan sebagai juara Landskap Terbaik antara institusi-institusi di Malaysia.

Tram mesra alam yang bergerak dengan kuasa bateri bercaj juga dijadikan pengangkutan kepada para pengunjung untuk mengelilingi kawasan kampus. Dalam usaha mengurangkan kadar pencemaran udara, kemudahan bas shuttle disediakan kepada pelajar untuk ke kelas. Malah, UUM turut menyediakan lorong pejalan kaki dan penunggang basikal sebagai sistem pengangkutan alternatif.

Antara program ‘Go Green’ terawal yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan UUM adalah pengharaman penggunaan polisterina melalui Kempen Mesra Eko (EFC) bertemakan Hidup Dalam Harmoni pada tahun 2008. Penggunaan polisterina akan menjejaskan alam sekitar kerana ia mengambil masa selama 500 tahun untuk reput. Sebagai alternatif, pelajar digalakkan membawa bekas sendiri apabila membungkus makanan, malahan para peniaga juga turut menyediakan kotak makanan yang diperbuat daripada kertas.

Disamping itu, pelaksanaan program 3R dan Earth Hour dijalankan secara berterusan. Program ‘Reuse, Reduce, Recycle’ menjadi tradisi dalam komuniti UUM dengan penyediaan tong kitar semula berwarna jingga, biru, coklat dan hijau yang terletak di bangunan-bangunan utama seperti Pusat Kesihatan Universiti dan UUM Centre for University-Industry Collaboration (CUIC). Logo 3R juga menjadi mural di pintu masuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah untuk menjadikan kitar semula sebagai amalan dalam kalangan warga UUM. Institut Pengurusan Kualiti UUM (IPQ) turut melancarkan program IPQ Go Green: Plant Adoption Handover to Staff sebagai medium untuk memupuk rasa cinta dan tanggungjawab kepada alam semulajadi baru-baru ini.

UUM mengambil peluang sepenuhnya dalam mengurangkan kadar pembaziran tenaga elektrik dengan menukarkan lampu-lampu bervoltan tinggi seperti sistem pencahayaan Metal Halide Bay kepada lampu jimat kuasa seperti LED dan lampu induksi yang menggunakan prinsip elektromagnetik. Penggunaan lampu pendafluor atau kalimantang juga ditukarkan daripada jenis T8 kepada jenis T5, malahan, sistem kitaran penggunaan penghawa dingin turut diubah suai dengan mengurangkan waktu operasi selama tiga puluh minit.

Selain itu, penggunaan sistem tenaga solar di Mini Golf Course dan kipas berbilah besar yang menggunakan teknologi High Volume, Low Speed (HVLS) di ruang Anjung Tamu UUM menggiatkan lagi usaha pengurangan kadar pembaziran tenaga elektrik. Alat pemadam api yang menggunakan gas halon and CO2 ditukar ganti kepada ‘clean agent extinguisher’ yang menggunakan HFC-227ea dan FM200.

bottom of page