top of page

TAMAN BOTANI UUM

 

Oleh: Nurul Raudhah Afra Binti Ismail

Taman Botani atau Botanical Garden merupakan salah satu daripada taman yang ada di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini. Taman Botani ini dijadikan untuk pelajar-pelajar dan staf UUM beristirehat dan melakukan aktiviti yang berfaedah.

Taman Botani ini terletak berhampiran dengan Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 4. Kawasan taman ini seluas lebih kurang 28 ekar, yang dilengkapi dengan rumah hijau dan wakaf untuk rehat. Taman Botani ini bertujuan mewujudkan persekitaran dan pemandangan yang lebih menarik. Taman ini merupakan salah satu kawasan landskap yang berkonsepkan alam semulajadi.

Taman Botani ini lebih tertumpu kepada tanaman pokok-pokok herba dan pokok hiasan. Dengan adanya Taman Botani ini, dapat memberi kesedaran kepada warga UUM tentang fungsi tanaman herba dan cara-cara penjagaannya. Di samping itu, kawasan ini merupakan kawasan untuk aktiviti riadah kepada staf dan pelajar untuk menghilangkan tekanan kerja dan memupuk kerjasama berpasukan di kalangan staf dan pelajar.

Suasana yang cantik dan tenang disebabkan oleh pokok-pokok yang tumbuh menghijau di kawasan Taman Botani ini telah menjadikan Taman Botani ini juga sesuai untuk aktiviti bergambar dan menjadi tumpuan untuk graduan-graduan pelajar UUM bergambar bersama kawan-kawan sebagai kenang-kenangan.

Selain itu, terdapat pelbagai kelebihan yang ada di Taman Botani ini.  Antaranya, menjadi tumpuan pelancong. Pada tahun ini, UUM telah menjadi salah satu tumpuan utama kepada orang ramai untuk datang ke UUM sempena dengan “DISCOVER UUM 2016”.

Taman Botani ini adalah salah satu taman yang akan menjadi tumpuan masyarakat kerana mempunyai pelbagai jenis herba dan tumbuhan-tumbuhan yang dapat diketahui oleh masyarakat luar. Selain daripada pusat sukan UUM, Taman Botani boleh dijadikan sebagai kawasan untuk beriadah kerana kawasannya yang luas dan terdapat laluan pejalan kaki yang boleh digunakan oleh pelajar untuk berjogging.

Selain itu juga, pelajar dapat mempelajari ilmu tentang pokok tumbuhan dan herba. Seperti yang sedia maklum, di Taman Botani ini terdapat beberapa pokok herba yang berkemungkinan pelajar kurang tahu tentang pokok herba tersebut. Dengan adanya Taman Botani, pelajar dapat mengetahui tentang nama pokok tersebut, khasiatnya dan kegunaannya. 

 

Taman Botani boleh dijadikan sebagai kawasan untuk pelajar melakukan aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong, mengadakan aktiviti BBQ dan hari keluarga. Selain daripada menikmati alam semulajadi, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Akhir sekali, terdapat pelbagai kelebihan dan kegunaan untuk pelajar dan staf UUM dengan adanya Taman Botani ini. Sebagai seorang pelajar UUM, kita haruslah menjaga dan memelihara alam semulajadi agar tidak menjadi kawasan yang terbiar.

bottom of page