top of page

POKOK SINTOK KHAZANAH UUM

Oleh: Che Zaihasnira Che Zainudin

Pokok Sintok atau nama saintifiknya Entada Spiralis yang terdapat di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi ikon dan mercu tanda kepada UUM. Pokok Sintok adalah pokok yang unik. Sehubungan dengan itu, nama Pekan Sintok diambil sempena nama Pokok Sintok.

Pokok Sintok juga digelar sebagai Beluru. Pokok Sintok adalah tumbuhan dari keluarga Leguminosae yang terdapat di dalam hutan tropika di negara Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Pokok Sintok merupakan tumbuhan yang berbatang dan menjalar pada pokok lain terutamanya pokok yang bersaiz besar seperti Pokok Balak. Apabila Pokok Sintok menjalar pada pokok lain, ia akan mengeluarkan cabang sisi untuk menguatkan sokongannya pada pokok tersebut.

Sebatang Pokok Sintok boleh mencapai ketinggian antara 20 hingga 30 meter. Manakala, batang Pokok Sintok berwarna coklat kehitaman dan berdiameter 70 sentimeter.

Kayu Pokok Sintok berwarna coklat kemerahan dan berbau harum seperti bau bunga cengkih. Manakala, panjang daunnya antara 7 hingga 17.5 sentimeter dan lebar daunnya antara 2.5 hingga 5.5 sentimeter.

Pokok Sintok biasanya membiak melalui biji benihnya. Pokok Sintok merupakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan dan khasiat yang tinggi. Pokok ini digunakan secara meluas oleh masyarakat zaman dahulu terutamanya masyarakat luar bandar

.

Buah sintok yang berwarna hitam dan sudah matang boleh berfungsi sebagai syampu dan mampu mengilat serta menghitamkan rambut. Air rebusan akar kayu Pokok Sintok mampu merawat penyakit Sifilis dan gigitan haiwan yang berbisa. Pokok Sintok juga mampu merawat kulit yang mempunyai masalah seperti jeragat, gatal dan jerawat. Hal ini kerana Pokok Sintok bertindak sebagai antibakteria dan antimikrob yang mampu merawat penyakit tersebut

.

Manakala, batang Pokok Sintok diketuk sehingga lumat dan direbus dalam air sehingga mengeluarkan buih. Buih tersebut mampu menghilangkan daki dan kotoran serta berbau wangi dan segar.

Pokok Sintok juga boleh digunakan untuk ibu yang baru melahirkan sebagai bahan untuk membuat pilis dan ditampal pada dahi bagi mengelakkan rasa pening dan angin meroyan.

Pelbagai produk telah dihasilkan yang berasaskan Pokok Sintok seperti produk sabun. Sabun ini mampu merawat penyakit kudis berair dan psiorasi. Kajian telah dibuat ke atas pesakit yang menghidap penyakit ini dan terbukti keberkesanannya kerana kulit pesakit tersebut menjadi kering.

Menurut Penolong Pemulihara Hutan, En. Amran Mahmud, Pokok Sintok yang terletak berhampiran dengan Padang Golf UUM telah berusia ratusan tahun. Pokok Sintok ini menjadi tarikan pelancong yang datang melawat ke UUM. Oleh itu, pokok ini perlu dijaga dan dipelihara dengan rapi kerana usianya yang telah tua.

Pokok Sintok semakin terancam akibat penerokaan kawasan hutan. Hal ini demikian kerana penerokaan terhadap akar kayu yang tidak terkawal boleh menyebabkan Pokok Sintok semakin pupus.

Oleh itu, pihak pengurusan UUM boleh mewartakan Pokok Sintok melalui program pemuliharaan supaya pokok ini tidak pupus ditelan zaman dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

bottom of page