top of page

DUSUN BUAH-BUAHAN HASIL PENGELUARAN UUM

Oleh : Nurul Salsabila Nawi

Universiti Utara Malaysia (UUM) terkenal dengan gelaran Universiti di Rimba Hijau kerana keindahan alam semula jadinya. Terdapat banyak dusun buah-buahan di sekeliling kampus yang menjadi hasil pengeluaran UUM. Dengan adanya dusun buah-buahan ini, ia dapat menonjolkan kecantikan dan keindahan pemandangan di kawasan kampus UUM.

Terdapat dua jenis dusun buah-buahan yang terdapat di sekitar UUM, iaitu dusun buah-buahan komersial dan dusun buah-buahan hutan (nadir). Dusun buah-buahan komersial yang terdapat di UUM terbahagi kepada empat tempat yang berlainan, iaitu dua dusun buah-buahan yang terletak di kawasan berhampiran dengan pintu masuk UUM dan selebihnya terletak berdekatan dengan Dewan Penginapan Pelajar (DPP) TM.

Menurut Penolong Kanan Pegawai Pertanian UUM, Encik Mohammad Ismail, jumlah keseluruhan pokok untuk dusun buah-buahan komersial adalah sebanyak 2132 batang pokok dan keluasan kawasannya seluas 38.59 ekar. Kemudahan turut disediakan di kawasan tersebut seperti sistem sprinkler dan pam air.

Pokok buah-buahan yang terdapat di dusun buah-buahan komersial UUM adalah seperti pokok durian, durian angkat, dokong, mangga, rambutan, pulasan, cempedak, sukun, nangka, manggis, ciku dan limau bali.

Durian merupakan nama tumbuhan tropika yang berasal dari wilayah Asia Tenggara dan nama durian diambil berdasarkan ciri khas kulitnya yang keras dan berlekuk-lekuk tajam sehingga menyerupai duri. Buah durian mendapat gelaran sebagai ‘Raja buah’. Hasil buah durian akan meningkat sehingga 65 biji setahun. Lokasi dusun durian ini terletak berhampiran dengan pintu masuk UUM.

Pokok dokong merupakan cantuman daripada pokok duku dan pokok langsat. Pokok dokong boleh ditanam secara batang dan secara biji. Pokok dokong yang ditanam secara batang boleh mengeluarkan hasil setelah berusia 5 tahun ke atas. Pokok yang berasal daripada biji pula mengeluarkan hasil pada tahun ketujuh selepas ditanam. Pokok dokong yang menjangkau usia lebih 20 tahun boleh mengeluarkan hasil sehingga 25 tan sehektar setahun.

 

Selain itu, pokok nangka juga terdapat di UUM merupakan spesies pokok tempatan di Asia Tenggara dan Selatan. Nama lain bagi pokok nangka adalah Artocarpus heterophyllus. Pokok ini mula mengeluarkan hasil pada selepas 2 hingga 3 tahun. Pengeluaran hasil pada musim pertama adalah lebih kurang 3,000 kg setahun.

Pokok manggis (Garcinia mangostanal) merupakan buah-buahan komersial yang terdapat di UUM. Pokok manggis berasal dari Kepulauan Nusantara dan boleh membesar setinggi 7 hingga 25 meter. Buah manggis berwarna merah keunguan ketika matang. Hasil tanaman pokok manggis yang pertama boleh dipetik setelah berusia 7 hingga 9 tahun. Hasil paling banyak adalah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun pertama.

Limau bali yang juga dikenali sebagai limau tambun merupakan sejenis limau besar yang banyak ditanam di sekitar Tambun, Perak. Di dalam UUM juga terdapat dusun buah-buahan ini. Dusun buah limau bali ini terletak di sebelah DPP TM.     

                                                                                        

Di UUM, terdapat beberapa jenis pokok buah-buahan hutan (nadir) yang terdiri daripada pokok langsat, pokok keranji, pokok mengkudu, pokok amra (kedondong), pokok keriang dot dan lain-lain lagi. Jumlah keseluruhan pokok adalah sebanyak 900 batang pokok dengan keluasan kawasan 19.41 ekar.

Pokok buah-buahan hutan seperti pokok keriang dot banyak terdapat di kawasan utara Tanah Air. Pokok ini mudah didapati di kawasan hutan dan di pinggir kampung. Pokok ini boleh didapati di Hutan Sintok. Pokok keriang dot berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan April hingga Mei. Buahnya akan berwarna hitam apabila masak. Buah ini mempunyai khasiat perubatan kepada pesakit kencing manis kerana buah ini dapat membantu mengurangkan kadar gula dalam darah.

Pokok mengkudu juga merupakan pokok buah-buahan hutan yang terdapat di UUM. Batang pokok ini tidak begitu besar, berwarna coklat kekuningan dan tingginya antara 4 hingga 6 meter. Pokok ini berdaun tebal. Daun mengkudu boleh dibuat ulam kerana mengandungi vitamin A yang tinggi. Permukaan buah mengkudu berbintik-bintik. Mengkudu mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan baik untuk kesihatan kerana boleh dijadikan sebagai ubat. Antaranya ialah sebagai ubat untuk mencegah kanser, mengatasi kulit bersisik, diabetes dan menyihatkan tulang.

 

UUM memperoleh hasil dengan adanya dusun buah-buahan ini. Di samping itu, keindahan persekitaran UUM menjadi lebih menarik dan mampu menjadi tarikan orang ramai untuk melawat UUM. Hal ini sejajar dengan konsep “Discover UUM” sempena tahun melawat Kedah.

bottom of page