top of page

Dari utara mengalir Sungai Sintok. Dari timur mengalirnya Sungai Badak. Bertemu di tasik tenang damai di barat. Kemudian airnya mengalir keluar ke arah selatan. Air sungai yang jernih dari hulu, bertemu air keruh mencuci tebing yang berlumut dan menghaluskan kerikil tajam di jeram dan melicinkan batu-batan dan pasir di tasik di tengah-tengah kampus, akhirnya menjadi jernih semula menuju ke muara dan kuala terus ke laut luas.

Penubuhan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Februari 1984 telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam penyediaan pendidikan kepada rakyat Malaysia di samping menjana pendapatan ekonomi penduduk setempat.

Selain menyediakan infrastruktur pendidikan, pembangunan pesat universiti turut menyediakan kemudahan taman rekreasi. Salah satunya ialah taman rekreasi yang dikenali sebagai Tasik Mas yang berhampiran dengan Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Mas. Pembangunan tasik ini diuruskan oleh Jabatan Pembangunan  dan Penyelenggaraan (JPP) menerusi Unit Pertanian, Landskap dan Perhutanan. JPP memainkan peranan utama sebagai pemangkin kepada Pembangunan Universiti Utara Malaysia bertanggungjawab memastikan tempat-tempat rekreasi dan pelancongan berada dalam keadaan yang kondusif dan mesra pelancong.

Menurut Arkitek Landskap, Pn. Norani binti Abu Seman, Tasik Mas asalnya merupakan tasik asal bekasan lombong dan mempunyai kedalaman yang membolehkan aktiviti sukan air dilakukan. Pengindahan kawasan tasik ini bermula pada 11 Januari 1995 hingga 31 Julai 1995 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 33,950.74.

Pelbagai kemudahan disediakan di sekitar kawasan tasik seperti trek jogging, aktiviti kayak, dan outdoor gym yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar bagi mengisi masa terluang di samping meningkatkan kecergasan mereka.

Tambah beliau, selain daripada pengunjung dalam Universiti Utara Malaysia, Tasik Mas juga turut dikunjungi oleh masyarakat tempatan dan luar yang datang untuk menjalankan aktiviti. Hal ini kerana kawasan hutan di UUM  mempunyai keluasan 107 hektar yang dipenuhi dengan sumber flora dan fauna.

Tasik Mas merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong di wilayah utara. Perancangan bagi menambahbaikkan pembangunan dari segi landskap telah dilakukan untuk menarik lebih ramai orang luar untuk berkunjung ke UUM.

Antara pembaharuan yang sedang dilakukan di Tasik Mas adalah seperti pembinaan laluan buggy, Paddle Boat dan Pony Ride di laluan tiga buah tasik UUM termasuklah Tasik Mas. Penambahbaikan infrastruktur ini bertujuan untuk  meningkatkan imej UUM ke peringkat yang lebih tinggi.

Anggaran kos  pembangunan dan penambahbaikan kemudahan rekreasi ini dianggarkan sebanyak RM 5 juta bagi menyempurnakan segala perancangan eco-tourism. Di samping itu, JPP juga akan meningkatkan pemeliharaan hidupan air tawar seperti ikan keli, haruan, dan ikan Kap Jepun di Tasik Mas.

Menurut seorang penghuni Dpp Mas, Ranjeta Gobal Servai mengatakan bahawa beliau sentiasa meluangkan masa lapangnya di Tasik Mas untuk  menenangkan fikiran beliau.

Selain itu, salah seorang mahasiswa, UUM Muhamad Afiq Ramlan pula berkata dia sering meluangkan masa beliau pada setiap hujung minggu bersama kawan-kawannya di Tasik Mas dengan melakukan aktiviti berkayak. Aktiviti berkayak juga membolehkan seseorang itu sentiasa sihat, tambah beliau.

Keindahan  Tasik MAS UUM

Oleh Rootra A/P Padmanabhan

bottom of page