top of page

SINTOK : Festival India 2016 yang berlangsung pada 25 Mac di Dewan Besar Bukit Kachi berhasrat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan mahasiswa UUM.

Objektif utama program anjuran Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa (JKPS) Dewan Penginapan SME Bank UUM adalah untuk memaparkan budaya kaum India kepada pelajar-pelajar UUM yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Program dwitahunan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Malek bin Haji Abdul Karim dan Pengetua Dewan Penginapan Pelajar SME Bank, En. Zahril Anwar bin Malek Abdul Hamid.

Antara aktiviti yang dirancang sepanjang majlis tersebut adalah seperti persembahan tarian pelajar UUM dari dewan penginapan yang lain, nyanyian, cabutan bertuah, persembahan muzik tradisional dan pertunjukkan slide “flashmob”.

Acara kemuncak program festival India ialah penyampaian cenderahati penghargaan kepada pemandu-pemandu bas UUM. 

“Pemandu bas UUM diberi penghargaan khas pada malam tersebut sebagai tanda menghargai jasa dan perkhidmatan mereka yang terbaik di UUM,” ujar  Pengarah Projek Festival India 2016, Khishaan Rao Rajah.

Menurut Khishaan, penganjuran program sebegini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya semangat perpaduan dan saling memahami bagi mencapai keharmonian ketika menjalani kehidupan di alam universiti.

“Program ini juga merupakan satu wadah bagi pelajar mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” tambah beliau.

Penganjuran program berbentuk festival ini dijangka dapat memberi hiburan dan dalam masa yang sama dapat memupuk semangat setia kawan, kata beliau lagi.

Festival India 2016 ini akan berterusan menjadi pemangkin bagi acara-acara seterusnya yang berpaksikan hiburan informasi dan juga platform bagi mahasiswa untuk lebih mengenali tentang budaya kaum lain di UUM.

Festival India 2016 Pupuk Perpaduan Mahasiswa UUM 

bottom of page