top of page

Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Malam Aspirasi dan Kebudayaan bagi merai majlis penutupan program mobiliti pelajar Universiti Syiah Kuala dari Indonesia baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) UUM, Prof Madya Dr. Yahya Don.

“Program ini telah memberi pendedahan kepada pelajar UUM dan Indonesia untuk memperkenalkan dan berkongsi budaya dari negara masing-masing. Di samping, dapat mengeratkan hubungan antara dua universiti,” kata beliau.

Menurut Pengarah Program, Luqman Jamaluddin, majlis penutupan mobiliti ini dapat memberi penghargaan kepada pelajar mobiliti seramai 17 orang.

“Terdapat banyak kelebihan daripada program tersebut seperti mendapat rakan baharu dari negara Indonesia, saling bertukar pendapat antara satu sama lain dan belajar tentang budaya dari negara lain”, ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut, pelajar UUM telah mempersembahkan beberapa tarian seperti tarian Satu Malaysia dan Malaysia Sabah yang menarik perhatian pelajar Indonesia.

Selain itu, pelajar dari Indonesia turut mempersembahkan Tarian Pukat yang bermaksud kebersamaan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain antara mereka serta puisi yang menarik untuk didengar oleh para peserta.

Menurut Muhammad Muharrozaq, 19, pelajar mobiliti Indonesia, program ini telah memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi idea, budaya, mendapat kenalan baru dan beramah mesra antara satu sama lain.

Program mobiliti antarabangsa adalah program yang bertujuan memperluaskan pengalaman pendidikan dan memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu dan perspektif global berkaitan dengan bidang ilmu yang diceburi serta membolehkan pelajar mengamalkan ilmu yang dipelajari dan mengilmukan apa yang diamalkan.

Aktiviti yang dilakukan oleh pelajar mobiliti Indonesia sepanjang di UUM seperti melibatkan diri dalam program Jalinan Budaya Malaysia-Indonesia, melawat tempat-tempat menarik sekitar Langkawi seperti Makam Mahsuri, tempat perusahaan gamat, Beras Terbakar, Langkawi SkyCab dan pertunjukan Silat di Nyior Cabang.

Program mobiliti ini telah menjadikan kedua-dua universiti menjadi lebih rapat kerana saling berhubung walaupun berjauhan dan hubungan yang terjalin dalam majlis tersebut menjadikan pelajar UUM dan pelajar mobiliti Indonesia lebih mesra antara satu sama lain.

Malam Aspirasi dan Kebudayaan Pelajar Mobiliti Indonesia 

bottom of page