top of page

Bunga Tecoma bagaikan musim sakura di UUM

Oleh : Firda Aulia Bt Che Samudin

Kehadiran musim berbunga Pokok Tecoma seakan ditunggu-tunggu oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana keindahan bunganya. Bunga Tecoma yang gugur mengindahkan pemandangan dan seakan sama seperti musim bunga sakura di Jepun. Pokok Tecoma merupakan pokok hutan yang dipulihara dan dipelihara dibawah Unit Landskap dan Perhutanan UUM kerana ia sesuai dengan kawasan persekitaran UUM yang dikelilingi oleh hutan tebal Sintok.

Pokok Tecoma atau dikenali juga dengan pelbagai nama seperti pokok kertas tisu, pokok terumpit atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Pink trumpet tree, Pink poui, Pink tecoma atau Rosy trumpet tree. Manakala, nama saintifiknya adalah Tabebuia rosea dari family Bignoniaceae. Pokok ini dikatakan berasal dari selatan Mexico dan tumbuh subur di kawasan beriklim khatulistiwa seperti di Malaysia. 

Fenomena cuaca panas dan kering pada bulan Februari hingga April menyebabkan Pokok Tecoma ini berbunga kerana sifatnya yang memerlukan cahaya matahari untuk menggalakkan proses pendebungaan.

Bunga Tecoma bersaiz besar mempunyai pelbagai jenis warna, iaitu merah jambu ke ungu, putih, merah dan kuning. Bunga Tecoma akan muncul  dan berbunga apabila dedaunnya berguguran atau daun di dahan sedikit.

Bunga Tecoma yang berguguran akan dapat dilihat di UUM terutama di sepanjang jalan menghala ke Pusat Sukan, Pusat Kesihatan Universiti, Jalan Persiaran perdana dan laluan B kawasan penginapan pelajar. Pokok tecoma yang tumbuh subur dan besar dijadikan sebagai perteduhan dari cuaca panas di dalam kawasan UUM.

bottom of page