top of page

KEDAH – Pasukan Shotokan Karate-Do Universiti Utara Malaysia (USKDC) muncul juara keseluruhan Kejohanan Terbuka Goju-Ken Kedah kali ke-11 yang diadakan pada 27 Februari 2016 di Dewan Serbaguna Modenas, Gurun.

 

Seramai 12 orang atlet USKDC meraih 13 pingat iaitu empat emas, empat perak dan lima gangsa dalam lapan kategori yang dipertandingkan.

 

Selain kategori Kata dan Kumite Individu bawah 18 tahun, antara acara yang dipertandingkan ialah Kata Individu (Terbuka) Lelaki dan Wanita, Kata Veteran, Kumite Individu Lelaki dan Wanita, Kumite Individu (Terbuka) Lelaki dan Wanita dan Kumite Veteran.

 

Menurut Jurulatih USKDC, En. Sulaiman bin Ismail, persiapan yang rapi telah dijalankan untuk membina semangat berpasukan yang tinggi bagi membuahkan hasil yang membanggakan.

 

“Semangat kesukanan, disiplin dan rutin latihan setiap malam Isnin dan Khamis berjaya membina semangat pelajar untuk cemerlang dalam kejohanan terbuka ini.

 

“Menjadi pelajar yang cemerlang dalam sukan dan pelajaran adalah satu tugas sukar, namun, sekiranya ada minat di dalam jiwa, saya yakin tiada apa yang mustahil bagi mereka,” katanya.

 

Ujar Sulaiman lagi, beliau turut menyertai pertandingan ini dalam dua kategori veteran bagi menyuntik semangat juang anak-anak muridnya lebih-lebih lagi apabila beliau berjaya meraih pingat emas dan perak dalam kedua-dua acara.

USKDC merupakan kelab seni mempertahankan diri yang telah mencipta banyak kejayaan sepanjang 16 tahun penubuhannya termasuklah kejohanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti Sukan IPT (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

 

Atlet USKDC, Nurul Hanis binti Imar berkata, kejohanan ini dapat menajamkan lagi kecekapannya dalam mengatur strategi dan menggunakan minit perlawanan sebaiknya.

 

“Kemenangan saya dan rakan sepasukan tidak diperolehi dengan mudah, sebaliknya diperolehi dengan hormat, disiplin dan komitmen terhadap sukan ini.

 

“USKDC akan terus bergerak ke hadapan dan berusaha menaikkan nama Universiti Utara Malaysia dalam arena sukan kombat Karate-Do,” jelasnya.

UUM JUARA KEJOHANAN TERBUKA GOJU-KEN KEDAH

bottom of page