top of page

POKOK TIGA BERADIK TARIKAN UTAMA DISCOVER UUM 2016

OLEH : Ainun Baity Binti Hasim

Pokok 3 Beradik atau bahasa saintifiknya Tetrameles Nudiflora merupakan sejenis pokok daun luruh besar yang tergolong dalam keluarga Dutiscaceae. Pokok ini terdapat di seluruh Asia bermula dari India melalui Asia Tenggara, Malaysia dan ke utara Australia. Pokok ini dipanggil Mengkundor di Malaysia dan nama panggilannya adalah berbeza mengikut negara. Contohnya, di Indonesia pokok ini dipanggil Binong atau Kayu Tabu manakala di Thailand pula dipanggil Som Phong.

           

Nama saintifik pokok ini berasal daripada bahasa Greek Purba yang merujuk kepada bunga yang memiliki empat kelopak daun. Perkataan Tetra membawa maksud empat manakala Melos pula bermakna sebahagian. Perkataan Nudiflora berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud bunga kosong. Pokok ini merupakan satu-satunya tumbuhan jenis Tetrameles. Pada kebiasaannya, pokok ini akan membesar pada ketinggian sehingga 500 meter dan habitatnya pula terletak di hutan berdaun luruh, kawasan yang rendah, tanah sungai yang rata dan beralun.

            Selain itu, Pokok 3 Beradik ini juga boleh didapati di utara Malaysia, iaitu di Hutan Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM). Sejajar dengan Tahun Melawat Kedah 2016 dan Tahun Melawat UUM 2016 (Discover UUM 2016), UUM telah menjadikan tumbuhan ini sebagai salah satu daya tarikan utama bagi kempen Discover UUM 2016. Tarikan ini berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan dan pendidikan atau edutourism seperti yang diumumkan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

            Penolong Pemelihara Hutan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) UUM, Encik Amran bin Mahmud menyatakan bahawa, Pokok 3 Beradik ini dianggarkan berusia dalam lingkungan 100 hingga ke 120 tahun. Usia pokok ini dianggar berdasarkan kepada kadar pembesaran setahun pokok tersebut.

           

 

Tambah beliau lagi, Pokok 3 Beradik ini mempunyai musim luruh yang tersendiri dan musim tersebut adalah berbeza mengikut iklim di suatu tempat tersebut. Pokok ini akan meluruhkan daunnya ketika musim panas dan kebiasaannya luruh pada setiap penghujung bulan November hingga Mac.

            Pokok 3 Beradik ini tergolong dalam kategori kayu yang sederhana keras. Kayu pokok ini tidak sesuai digunakan dalam industri pembinaan berat seperti pembinaan tiang. Pokok ini sesuai digunakan untuk hiasan dalaman rumah selain kayunya boleh dibuat kotak dan papan playwood. Tambahan lagi, kayu pokok ini juga boleh digunakan dalam penghasilan perahu serta kamu..

            Encik Amran turut menyatakan bahawa pihak JPP masih dalam proses untuk membuat label bagi setiap spesies pokok yang terdapat dalam Hutan Sintok. Usaha tersebut akan dimulakan dengan memberi nama saintifik pada mana-mana pokok yang ditemui dalam hutan tersebut bagi memudahkan pengunjung untuk lebih mengenali jenis-jenis pokok yang jarang ditemui.

            Selain itu, pihak JPP juga dalam perancangan untuk membina trek ‘jungle trekking’ dalam Hutan Sintok itu bagi memudahkan laluan para pengunjung untuk mengunjungi hutan tersebut dan melihat khazanah berharga seperti Pokok 3 Beradik dan pokok-pokok yang berusia ratusan tahun yang lain yang terdapat di kawasan hutan tersebut.

            Kampus UUM ini dikelilingi dengan hutan hujan tropika, dan pelbagai khazanah berharga yang lain seperti tasik tersembunyi, dua batang sungai, iaitu Sungai Sintok dan Sungai Badak, Pet Farm, dusun buah-buahan dan tanaman herba. Hal ini adalah bersesuaian dengan gelaran Universiti di Rimba Hijau.

            Jelas Encik Amran lagi, mereka masih lagi dalam usaha memulihara dan meneroka tanaman herba yang terdapat di dalam Hutan Sintok. Berdasarkan perancangan pihak JPP, mereka akan melabelkan setiap tanaman herba itu mengikut jenis-jenis penyakit. Pihak JPP berharap bahawa usaha ini dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat supaya pengunjung tidak terlepas peluang dalam mengenali dan mengetahui jenis-jenis pokok tradisional yang terdapat di dalam kampus ini.

bottom of page