top of page

PUNCAK VISTA SATU PANORAMA KEINDAHAN ALAM HIJAU UUM

Oleh : Muhammad Faiz Bin Rahim

“Universiti Di Rimba Hijau” menunjukkan bahawa Universiti Utara Malaysia (UUM) kaya dengan khazanah alam flora dan fauna yang mampu memukau pandangan setiap pengunjung yang datang. Selain itu, kejayaan UUM meraih kedudukan ke-45 dalam senarai Green Metric World University menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap kehijauan alam.

       Hutan Sintok di UUM berkeluasan 1,061 hektar dan berusia ribuan tahun bakal menjadi tarikan utama sempena Tahun Melawat UUM 2016 atau Discover UUM. Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, ia menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan eko pelancongan untuk pelancong di dalam dan di luar negara khususnya pencinta alam.

        Terdapat banyak tempat yang menarik dan boleh diterokai oleh pengunjung mahupun pelajar. Salah satu daripadanya adalah Puncak Vista yang merupakan tempat tumpuan pengunjung mahupun pelajar kerana Puncak Vista memberi panorama yang terbaik apabila mendaki puncak tersebut.

       Dalam misi mendaki Puncak Vista, pendaki dapat melihat panorama keindahanan alam hijau dan menghirup udara segar. Pada masa yang sama, dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Persediaan fizikal harus diberi penekanan bagi mereka yang tidak pernah mendaki Puncak Vista. Berjalan sambil menikmati keindahan alam flora yang hijau pasti akan membuat anda berasa lebih sihat dan meletakkan minda pendaki pada tahap yang lebih selesa.

       Seterusnya,untuk pengetahuan umum terdapat 3 puncak vista yang dibina di dalam kampus sebagai tempat rekreasi. 2 daripadanya adalah terletak di dalam hutan sintok yang masing-masing mempunyai ketinggian 6.3 meter dari permukaan tanah.  Puncak ini sesuai bagi mereka yang berminat untuk menikmati keindahan alam semula jadi kerana kehijauan flora yang  sangat memukau pandangan bagi mereka yang menjejakkan kaki di sana.

        Sebuah lagi puncak vista didirikan di atas bukit berhampiran dengan Dewan Penginapan Pelajar Maybank (DPP Maybank), yang mempunyai ketinggian 90 meter dari aras laut dan harus menaiki anak tangga yang berjumlah 164 anak tangga. Puncak ini amat sesuai bagi golongan yang inginkan keindahan permandangan panorama Kampus Sintok  secara keseluruhan.

       Puncak Vista bukan sahaja menjadi tumpuan pelajar sebagai salah satu tempat untuk beriadah semasa waktu lapang bagi menikmati keindahan alam semula jadi, malah banyak persatuan-persatuan memilih Puncak Vista sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti. Salah satu daripadanya ialah Beliawanis PEMBINA UUM. Seramai lebih 30 orang Beliawanis PEMBINA UUM bersemangat menempuh halangan mendaki Puncak Vista.

       Ketinggiannya mencecah 90 meter dari paras laut, membolehkan pengunjung menikmati permandangan luas kampus UUM merupakan salah satu daripada tarikan apabila berada di Puncak Vista. Program riadah Beliawanis ini adalah anjuran daripada PEMBINA Kedah yang diketuai saudari Noraini Yusoff selaku pengarah program. Selain menggalakkan Beliawanis cergas badan, nilai perkenalan dan ukhuwah sesama mereka juga turut terjalin.

       Peluang menikmati pandangan indah dari puncak tersebut dihayati sebaiknya melalui slot pengisian jiwa tentang konsep ibadah dan riadah. Rata-rata peserta yang turut serta, menyatakan rasa gembira kerana berjaya dan berpeluang sampai ke Puncak Vista biarpun sudah bertahun-tahun menjadi penuntut UUM.  

       Tambahan pula, pada 19 Oktober 2014, Welcome Centre mengeluarkan tagline terbaru iaitu "Universiti Dalam Hutan Hijau". Tagline yang baru ini dapat menunjukkan UUM memiliki suasana tenang dan indah kerana terdapat flora dan fauna yang unik disekitar kampus yang dapat memukau pandangan. Oleh itu, satu majlis khas telah diadakan bagi melancarkan tagline UUM yang  baru ini dan majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak di Welcome Centre, UUM semalam.

bottom of page