top of page

SINTOK: Komuniti Pelajar China dengan kerjasama Persatuan Pelajar Antarabangsa UUM (ISS) akan mengadakan Malam Budaya Seni “The Coolest Ethnic Trend” yang bertempat di Dewan Tan Sri Othman (DTSO) pada 22 April 2016.

Menurut pengarah program, Hong Hong, budaya etnik Cina tidak dapat dijelaskan melalui perkataan dan bahasa, oleh itu pelajar perlu melibatkan diri dan menyertai malam budaya seni untuk memahami budaya etnik Cina.

Program ini kali pertama diadakan di UUM dengan tujuan untuk menarik minat pelajar tempatan dan antarabangsa supaya mereka dapat didedahkan dengan budaya seni etnik Cina.

Objektif malam budaya seni ini adalah bagi memperkenalkan dan mempromosikan budaya etnik Cina yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri kepada pelajar-pelajar UUM.

Malam budaya seni ini juga diadakan bagi membolehkan pelajar berlainan bangsa untuk mengetahui perbezaan budaya kaum Cina di Malaysia dan China.

Selain terdapat pelbagai persembahan yang menarik, jualan makanan tradisional yang halal dan cabutan bertuah juga turut diadakan pada malam budaya tersebut.

Persembahan tradisional yang akan dipertontonkan adalah seperti Tarian Kipas, Opera Cina, Orkestra Cina Moden, Wushu, “24 Festival Drum”, “Chinese Crosstalk” dan akrobatik.

Pelajar UUM turut terlibat dalam persembahan tradisional dan mereka telah merancang persembahan tersebut selama dua bulan untuk memastikan persembahan berjalan dengan lancar.

Begitu juga sebuah pasukan akrobatik yang profesional dari negara China akan dijemput untuk membuat persembahan.

Pelajar yang berminat untuk menerokai budaya dan sejarah China boleh mendapatkan tiket daripada ahli Komuniti Pelajar China melalui media sosial Facebook.

Malam Budaya Seni “The Coolest Ethnic Trend”

bottom of page