top of page

Sintok ­- Sejak 32 tahun penubuhan St. John Ambulans Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Pusat Kokurikulum, tanggal 5 Mac 2016 merupakan detik bersejarah apabila diadakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan buat pertama kali.

Mesyuarat Agung ini melibatkan seramai 116 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Semester Dua dan Semester Empat.

Ahli St. John Ambulans UUM membuat perbarisan hormat sebelum Mesyuarat Agung dimulakan.

Perasmian Mesyuarat Agung telah dilancarkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Azlizan Talib.

“Saya berasa bangga terhadap ahli St. John Ambulans kerana dalam sejarah 32 tahun UUM ditubuhkan, ini adalah kali pertama Mesyuarat Agung St. John Ambulans UUM diadakan”, katanya.

“Saya berharap proses mesyuarat agung dapat direalisasikan dengan sempurna dan semua ahli jawatankuasa yang dilantik akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin untuk melebarkan sayap setanding dengan badan uniform UUM yang lain”, katanya lagi.

Penasihat St. John Ambulans, Encik Samsudin Oli berkata, beliau percaya bahawa ahli-ahli St. John Ambulans UUM mampu untuk terus cemerlang dan mengorak langkah ke peringkat yang lebih tinggi dengan kerjasama Persatuan St. John Ambulans Malaysia.

Mesyuarat Agung ini bertujuan untuk melantik ahli jawatankuasa yang baru dan membincangkan program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

 

Antara program yang dibincangkan untuk diadakan pada sesi 2016 adalah Program Bersama Penduduk Taman Sri Changlun dan Program 10,000 Langkah.

Presiden St. John Ambulans UUM, Zairy Hafizul Zainal Ariffin berkata, saya amat berterima kasih kepada semua kerana memberi kepercayaan kepada saya dalam mengendalikan Mesyuarat Agung St. John Ambulans UUM yang pertama dan ini adalah pengalaman yang berharga bagi saya.

 “Saya berharap dengan adanya mesyuarat agung ini, ahli-ahli St. John Ambulans UUM dapat meningkatkan lagi komitmen dan saling bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha mewujudkan sebuah badan uniform yang berprestasi”, tambahnya lagi.

Mesyuarat Agung St. John Ambulans  UUM Cipta Sejarah 

bottom of page